Ahad, 15 Januari 2012

Kondominium Mewah Tepi Tasik



RUANG yang luas dimanfaatkan dengan menyediakan dua ruang tamu.




DI seberang Tasik Rockhaven, bakal tersergam tiga blok bangunan kondominium The Haven Lakeside Residence yang menjadi saksi keindahan alam semula jadi di Tambun, sebuah bandar utama dalam daerah Kinta, Perak.
Suasana damai memang dapat dirasakan sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke kawasan kediaman elit setinggi 26 tingkat ini.
Mana tidaknya, The Haven dibina bersempadan dengan hutan dara yang mewah dengan kehijauan floranya.
Tiga blok yang dibina pula seakan-akan mengepung tasik bekas lombong dengan sebuah tugu batu kapur setinggi 56 meter berusia 280 juta tahun di pinggir tasik.
Dimajukan oleh Superboom Project Sdn. Bhd., projek yang menelan belanja RM270 juta itu bakal siap pada tahun 2013 ini menawarkan 497 unit kediaman eksklusif yang dilimpahi dengan gaya hidup mewah.
“Walaupun The Haven dibina berkonsepkan hotel bertaraf lima bintang, kediaman mewah ini sebenarnya mampu dimiliki.
“Malah, harga yang kami tawarkan adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan projek serupa di Kuala Lumpur ataupun Pulau Pinang,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif The Haven Sdn. Bhd., Peter Chin.

SET hitam-perak membangkitkan ciri eksklusif unit banglo ini.



Kepung tasik
Dengan sentuhan rekaan gaya moden di tengah rustik hutan dara, keunikannya memang terserlah di setiap unit kondominium di sini. Terdapat enam jenis rumah berbeza rekaan dan konsep ditawarkan.
“Sebelum memulakan projek ini, kami menerima banyak respons daripada orang ramai yang mahukan rumah banglo di kawasan ini.
“Walaupun harganya mungkin jauh lebih mahal, sebagai pemaju, saya juga ingin berkongsi keindahan di kawasan kediaman yang berorientasikan alam semula jadi.
“Lantaran itu, saya mengambil keputusan untuk membina rangkaian kondominium di sini agar lebih ramai orang berpeluang menikmati suasana kehidupan di sini,” kata Peter Chin.
Dengan gaya mewah yang diterapkan, persekitaran mendamaikan dan harga mampu milik, tidak hairanlah The Haven telah diberi pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Tanpa pemisah
Antaranya, Kediaman Mewah Paling Bernilai Dan Murah Di Dunia oleh jurnal perniagaan eksklusif, Wall Street Journal dan anugerah The Arch of Europe Award Kategori Emas Kualiti dan Teknologi oleh Business Initiative Direction di Jerman, Jun lalu.
Pelawaan daripada Peter Chin untuk meninjau kelainan rekaan dalaman di unit banglo kondominium ini diterima dengan senang hati. 

SANTAI di balkoni pada waktu petang pastinya mengasyikkan.



Memasuki sahaja Bungalow In The Sky di tingkat 26, garapan reka hias dalaman unit dua tingkat ini memang cukup eksklusif.
Tingkat bawah dikhususkan untuk ruang santai di mana ruang tamu, ruang makan, laman belakang dan dapur ditempatkan.
Apa yang menarik, tiada sebarang dinding pemisah dibina di antara ruang tersebut.
Sebaliknya, pemaju memilih untuk meletakkan dinding cermin berskala besar yang berfungsi menjadikan ruang tamu dan ruang makan cukup luas dan selesa.
Secara tidak langsung, pemilik rumah tidak perlu bersusah-susah untuk menyediakan dinding fokal kerana dengan kaedah dinding cermin ini, pemandangan mata secara automatik akan tersebar ke kawasan pinggir hutan yang terbentang luas di hadapan, kiri dan kanan.
“Ini yang saya mahukan, tiada dinding yang boleh menyekat pemandangan. Jika sedang makan, anda masih boleh berkomunikasi dengan orang yang sedang menonton televisyen ataupun dengan orang yang sedang sibuk di dapur.
“Jika tidak, anda masih boleh menikmati keindahan hutan yang terbentang luas di hadapan anda,” kata Peter Chin.

BILIK untuk anak dihias ringkas namun praktikal.



Bagi yang inginkan suasana santai, balkoni di sebelah kiri kediaman amat sesuai dijadikan lokasi berehat sama ada sendirian, bersama keluarga ataupun teman-teman.
Di tingkat sama juga, tersedia bilik mandi dan tandas untuk kemudahan para tamu yang berkunjung.
Di lantai atas kediaman pula, ia direka khusus sebagai ruang peribadi pemilik dan penghuni kediaman.
“Kami hanya tempatkan bilik tidur di bahagian atas banglo ini.
“Ini memberikan ruang privasi kepada penghuni rumah kalau ada tetamu yang bertandang ke rumah,” tambahnya.
Bukan sekadar menawarkan kediaman mewah, The Haven turut menyediakan kediaman yang lengkap dengan perabot, jika itu yang dimahukan pelanggan,” ujarnya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan